KOTA KINABALU: PKR Sabah kini bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Ketuanya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata ia selepas Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang dipengerusikannya selesai melaksanakan gerak kerja mengukuhkan organisasi parti.
Katanya, pelantikan Pengerusi Biro Politik (BiroPol) PKR Sabah bagi tempoh 2024-2025 adalah yang terakhir selepas penyusunan semula organisasi parti dilaksanakan sejurus beliau dilantik sebagai Pengerusi MPN pada 26 Mei lalu.
PKR Sabah, katanya melantik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew yang juga Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu untuk jawatan Pengerusi BiroPol itu.
“Untuk terus memperkukuhkan serta melancarkan gerak kerja organisasi PKR Sabah, maka MPN mengesahkan pelantikan YB Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi Biro Politik (BiroPol) Negeri 2024 -2025.
“Ini selaras dengan keputusan mengekalkan kepemimpinan Christina untuk terus menerajui Pakatan Harapan (PH) Sabah sebagai pengerusi.
“Pelantikan ini adalah proses untuk melengkapkan struktur organisasi parti secara seimbang dan menyeluruh dari kalangan wakil cabang pelbagai kaum dan agama.
“Ini menunjukkan PKR Sabah kini sudah bersedia menghadapi PRN yang boleh diadakan pada bila-bila masa dengan barisan kepemimpinan yang baharu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata PKR Sabah turut merakamkan rasa dukacita atas musibah banjir yang melanda beberapa kawasan terutama di Penampang, Putatan dan Sepanggar.
Katanya, jentera parti sudah digerakkan untuk membantu dan memberi sumbangan mengikut keperluan penduduk yang terjejas akibat bencana berkenaan. – Info X