Search

PKR sudah lama perjuang MA63 – Razeef Rakimin

September 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR menafikan tuduhan yang mendakwa parti itu mempergunakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai landasan politik untuk dilihat sebagai pejuang isu berkenaan di Sabah.

Timbalan Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, berkata tuduhan itu tidak wajar memandangkan perkara berkaitan MA63 memang terkandung dalam perlembagaan parti itu sejak awal ia ditubuhkan lebih 25 tahun lalu.

“MA63 adalah perjuangan Keadilan yang termaktub dalam perlembagaan parti Fasal 5.8 sejak awal penubuhan.

“Keadilan adalah yang terawal dan mungkin satu-satunya parti meletakkan MA63 dalam perlembagaannya.

“Ini adalah bukti bahawa tuduhan pihak yang mengatakan kami baru menunggang isu ini adalah tidak benar,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata Fasal 5.8 Perlembagaan PKR menjelaskan bahawa parti itu menjunjung setia semangat kerjasama dan perkongsian kuasa secara adil di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan memperkasa kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka MA63.

Sementara itu, Razeef berkata, sejajar dengan komitmen PKR terhadap perjuangan melaksanakan MA63, satu perbincangan meja bulat membincangkan perkara itu bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada 15 September ini.

Perbincangan Meja Bulat Keadilan
Borneo itu yang julung kali dianjurkan PKR Sabah bakal dihadiri pemimpin PKR dari Sabah dan Sarawak, termasuk Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua PKR Sarawak, Roland Engan.

Katanya, persidangan itu turut disertai tokoh profesional yang berpengetahuan luas mengenai MA63, termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum.

“Perbincangan meja bulat sempena sambutan Hari Malaysia itu bertemakan Semangat MA63 dalam membangun Malaysia Madani bagi membincangkan isu berbangkit berkaitan MA63 selepas Mesyuarat MA63 pada 12 September ini.

“Hasil perbincangan meja bulat itu nanti akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Razeef berkata PKR Sabah yakin ada berita baik bakal diumumkan Perdana Menteri selepas Mesyuarat MA63, di sini, pada 12 September ini. – Info X