Search

PM akan lunaskan hak Sabah dan Sarawak – PH Sabah

August 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap melunaskan hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam perlembagaan dan perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menerusi satu kenyataan hari ini, PH Sabah berkata semua pihak harus mengakui bahawa perbincangan dan rundingan berkaitan tuntutan dalam MA63 dan perlembagaan adalah rumit kerana membabitkan perundangan yang kompleks, selain memerlukan kajian dan pertimbangan terperinci.

“Namun, apa yang meyakinkan adalah kita mempunyai Perdana Menteri yang telah bersetuju dan membenarkan perkara ini dibincangkan, dikaji dan mencari jalan untuk diselesaikan.

“Tidak pernah dalam sejarah negara kita, kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang telus, menghormati perjanjian sejarah dan ikhlas untuk memberikan pemberdayaan kewangan yang sebenar kepada Sabah dan Sarawak. Beberapa tahun yang lalu, perkara ini adalah ‘pantang’ untuk disebut dan dibincangkan secara terbuka.

“Dengan perkembangan positif ini, kita bukan saja berharap tetapi kita juga yakin bahawa melalui keikhlasan, komitmen dan kepemimpinan Perdana Menteri, kita akan memastikan bahawa pada akhirnya, apa yang termaktub dalam perlembagaan sebagai hak Sabah dan Sarawak pasti akan dihormati dan dilunaskan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyusul selepas pelbagai maklum balas orang ramai terhadap kenyataan Perdana Menteri sebelum ini mengenai peruntukan keseluruhan RM16 bilion diterima Sabah bagi tahun ini yang disebutnya melebihi jumlah 40 peratus hasil negeri yang dituntut Sabah melalui MA63.

Dalam kenyataan itu, PH Sabah menyebut pendedahan dibuat Perdana Menteri berhubung peruntukan itu harus diterima dengan hati dan fikiran terbuka serta melihatnya sebagai perhatian istimewa dan komitmen kewangan yang diberikan kepada Sabah oleh kerajaan persekutuan.

“Apabila kita bercakap mengenai MA63 dan hak-hak yang termaktub di dalamnya, ramai yang nampaknya mengabaikan fakta bahawa hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 melibatkan banyak lagi perkara lain dalam rangka kerja itu.

“Tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju dan menyelesaikan beberapa perkara di bawah Majlis Tindakan Penyelesaian Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63). Selepas 61 tahun pembentukan Malaysia, ini adalah kali pertama beberapa tuntutan di bawah MA63 dapat diselesaikan.

“Perkara seperti pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, yang mengembalikan kedudukan asal Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan ketika Malaysia dibentuk dan pindaan kepada Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang akhirnya memberikan pengiktirafan dan nyawa perundangan kepada MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

“Ini adalah perkembangan yang positif dan penting yang menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membetulkan keadaan dengan mengiktiraf peranan Sabah dan Sarawak serta kedudukan istimewa dalam pembentukan Malaysia,” katanya.

Melalui penubuhan MTPMA63, katanya beberapa tuntutan penting sudah diberikan dan dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak seperti penyerahan kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan Sabah serta pemberian kuasa ke atas perlesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Selain itu, katanya antara yang diselesaikan sepenuhnya ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182) dan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 untuk melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai ahli tetap lembaga.

“Bukan itu saja, penyerahan kuasa untuk mengawal selia bekalan gas di Sabah; pentadbiran kehakiman di Sabah dan Sarawak; penyediaan garis panduan untuk pemindahan semula tanah yang dikhaskan untuk Persekutuan di Sabah dan Sarawak; serta penyerahan kuasa pengawalseliaan elektrik kepada kerajaan Sabah juga diselesaikan.

“Ini hanyalah beberapa perkara yang telah dipersetujui dan masih banyak lagi perkara lain yang sedang dikenal pasti dan dibincangkan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew; Presiden Pertubjhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO),
Datuk Ewon Benedict; Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon dan Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu. – Info X