KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Sabah Electricity supaya mempercepatkan kerja pemulihan gangguan bekalan elektrik di kawasan pantai timur Sabah.
Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, Anwar berkata keutamaan perlu diberikan di sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal.
“Dukacita dengan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan sehingga lapan daerah di Pantai Timur Sabah susulan runtuhnya sebuah menara penghantaran elektrik di Ranau.
“Gangguan ini menimbulkan kesulitan dalam urusan harian penduduk, terutama bagi anak-anak yang sedang membuat persiapan untuk menduduki SPM.
“Sabah Electricity perlu mempercepat kerja pemulihan agar bekalan dapat dipulihkan lebih awal daripada jadual. Sediakan bekalan elektrik sementara dengan mengutamakan sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal,” katanya.
Anwar menegaskan kepantasan bertindak penting bagi memastikan kesan yang dihadapi rakyat dapat dikurangkan
“Bencana mungkin sukar dielakkan, tetapi kepantasan kita bertindak menentukan berapa lama rakyat terpaksa menanggung kesannya. Setiap jam sangat bermakna buat mereka,” katanya.
Sebelum ini, Sabah Electricity menetapkan tempoh enam hari sehingga 2 Disember depan untuk memulihkan sepenuhnya bekalan tenaga ke pantai timur melalui grid Sabah menerusi pemasangan menara sementara.
Kaedah itu bagi memastikan dua talian yang terputus selepas menara talian penghantaran bertanda T313 tumbang akibat hakisan tebing Sungai Liwagu pada Khamis lalu dapat disambung semula. – Info X