Search

PM gesa pembebasan segera aktivis dan sukarelawan Malaysia

October 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembebasan segera semua aktivis dan sukarelwan Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika dalam pelayaran misi kemanusiaan ke Gaza awal pagi tadi.

Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Anwar berkata tindakan rejim Zionis itu tidak wajar kerana ia adalah misi kemanusiaan yang membawa orang awam bagi menghantar bantuan kepada rakyat di Gaza.

“Saya menerima maklumat daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia selepas rejim Zionis Israel memintas konvoi Global Sumud Flotilla.

“Saya menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera! Ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza.

“Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dengan menyekat misi kemanusiaan itu, Israel bukan saja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.

Jelasnya, Flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia.

“Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara kita terlibat.

“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli,” katanya.

Beliau menegaskan, selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman serta perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan. – Info X