PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata masalah kemiskinan tegar di Sabah akan diselesaikan sebelum akhir Julai ini menerusi usaha yang dilaksanakan hasil kerjasama erat kerajaan persekutuan dan negeri.
Katanya, sebelum ini dianggarkan ada kira-kira 20,000 keluarga miskin tegar di Sabah, namun jumlah itu sudah dikurangkan kepada 9,000 keluarga ketika ini.
Katanya, perkara itu menjadi keutamaan Kerajaan Madani pimpinannya kerana beliau tidak mahu rakyat negeri ini terus dibebani kesukaran hidup akibat masalah kemiskinann tegar.
“Mulanya ada sekitar 20,000 (keluarga miskin tegar), kita ambil langkah-langkah segera sekarang tinggal 9,000. Saya ucapkan terima kasih kerana mendapat kerjasama penuh dengan kerajaan negeri dan kita mahu noktahkan kemiskinan tegar di Sabah ini sebelum akhir Julai 2024.
“Ini keutamaan kita.. kita boleh bincang pelbagai hal tapi kalau anak-anak kita, keluarga kita yang tidak cukup makan ini, ia menjadi tangungjawab kita yang perlu diselesaikan,” katanya pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024, di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri dan persekutuan juga berbincang soal bekalan air yang diluluskan oleh kerajaan dan bekalan elektrik kerana kerana ia juga masih bermasalah.
“Kita ada beberapa cadangan jangka pendek, perbincangan di Sarawak dengan Prremiernya juga kita minta segerakan gas dari Miri melalui Sipitang untuk masuk ke Sabah dan ini perlu dipercepatkan supaya dapat menyelesaikan masalah membawa pelabur baharu datang ke negeri ini,” katanya. – Info X