PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau teruja dapat menghadiri sambutan Pesta Kaamatan di Sabah, pada tahun ini.
Katanya, beliau rasa sangat bahagia kerana dapat bersama saudara di Sabah menyambut sebuah pesta yang penting bukan sahaja bagi rakyat Sabah tapi seluruh negara.
Beliau berkata, acara seperti ini adalah acara rakyat seperti mana yang pernah diunggap penyair terkenal negara jiran Indonesia, Taufiq Ismail yang mengatakan “mengakar ke bumi menggapai ke langit.
“Kita ada cita-cita untuk negara madani dengan menjadikan Malaysia sebuah negara unggul, hebat ekonomi, kuat tahap pendidikan dan teknologinya tetapi dalam masa sama tetap mengakar ke akar budaya tradisi kita sendiri.
“Malaysia ini hebat selagi rakyat bermula dengan pimpinannya mempunyai sikap bukan sahaja menghormati tetapi toleransi dan apresiasi yang memiliki kekuatan masing-masing.
“Setiap budaya mempunyai keindahan tersendiri. lihat tarian, kepelbagaian dan budaya.
“Inilah hasrat kita dan saya memilih memaklumkan kepada Ketua Menteri Hajiji yang saya ingin hadir untuk menunjukkan bahawa kerajaan Perpaduan ini bersungguh-sungguh mahukan rakyat bahawa ini fasa baharu negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan Tahun 2023 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, pelaksanaan isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilihat suatu tanggungjawab generasi kini.
Katanya, MA63 perjanjian atau ikrar yang dimetarai bapa kemerdekaan sebelum ini dan kini tanggungjawab generasi terkini melaksanakan janji itu dengan sedia dan ikhlas.
“Apabila Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyebut tentang MA63, saya tidak lagi bimbang kerana sejak kita ambil alih kerajaan, antara keutamaan ialah menyelesaikan masalah yang sudah berpuluh tahun merundung negara.
“Setiap kali saya ke Sabah, tidak habis-habis dengar masalah MA63.
“MA63 adalah perjanjian atau ikrar yang dimetarai bapa-bapa kemerdekaan kita. Tanggungjawab kita ialah melaksanakan janji itu dengan sedia dan ikhlas.
“Dalam tempoh enam bulan, saya bersyukur kita dengan kerjasama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji dan pasukan di negeri serta persekutuan.
“Malahan saya minta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mempengerusikan hampir semua permasalahan dan sudah selesai dengan baik,” katanya.
Sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri 2023 dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Shahelmey Yahya dan Dr. Joachim Gunsalam selain Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. – Info X