KOTA KINABALU: Dua lelaki berdepan detik cemas apabila dua kenderaan yang dipandu mereka, dihempap sebatang pokok yang tumbang di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Apartment Angkasa, Manggatal, di sini, hari ini.
Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan dan angin kuat yang melanda beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.34 petang.
Katanya, seramai 10 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi didapati sebatang pokok telah menghempap dua kenderaan iaitu lori tiga tan dan Proton Saga.
“Pasukan bomba bertindak memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan peralatan gergaji berantai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agustavia berkata, kedua-dua pemandu lelaki berusia 31 dan 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Laluan berkenaan boleh dilalui sebaik kerja-kerja mengalihkan dahan pokok tumbang selesai.
“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan jam 6.32 petang tadi,” katanya.
Operasi turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu.
Terdahulu, kejadian pokok tumbang itu menyebabkan keadaan lalu lintas sesak di kawasan berkenaan sehingga tular di media sosial. – Info X