Search

Pokok tumbang hempap empat kereta

October 31, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Empat kereta dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Fung Yei Ting, berhampiran Gereja True Jesus, di sini, malam ini.

Dalam kejadian itu, empat kenderaan terbabit ialah dua Proton Saga FLX dan dua Proton Persona.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terperangkap atau mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 malam sebelum sembilan anggota digerakkan ke lokasi.

Katanya, pasukan bomba tiba lima minit kemudian dan mendapati sebatang pokok tumbang menghempap empat kenderaan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati tiada mangsa terperangkap dalam mana-mana kenderaan.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghempap kenderaan terbabit,” katanya.

Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Setakat laporan awal dikeluarkan, kerja mengalihkan pokok tumbang masih dijalankan. – Info X