Search

Polis bantuan KKIA maut dengan kesan tembakan di kepala

August 29, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: seorang anggota polis bantuan ditemui maut dengan satu das tembakan di bahagian kepala di ruang rehat di dalam kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, pagi tadi.

Mangsa lelaki berusia 42 tahun ditemui rakan sekerjanya dalam keadaan berlumuran darah, kira-kira jam 9.30 pagi.

Sepasukan polis yang terima maklumat mengenai kejadian ini kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan pada ketika itu mangsa masih bernyawa.

Kira-kira jam 10 pagi, pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Pasukan Forensik yang berada di kawasan KKIA bagi menjalankan siasatan lanjut.

Difahamkan, mangsa ditemui terlantar di kerusi rehat dengan pendarahan di bahagian kepala.

Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

Turut berada di lokasi kejadian Unit Forensik IPK Sabah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim ketika ditemui di lokasi kejadian mengesahkan kejadian berkenaan.

“Mangsa dibawa ke Unit Forensik HQE I untuk tindakan lanjut.

“Kes mengenai kejadian itu masih dalam siasatan polis,” katanya.

Turut berada di lokasi kejadian Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) IPK Sabah, Superintendan Alhusin Halil. – Info X