TAWAU: Cubaan seorang lelaki meloloskan diri daripada ditahan polis gagal apabila dia berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Merotai, semalam.
Suspek berusia lingkungan 27 tahun itu disyaki terbabit dalam beberapa kes jenayah termasuk curi motosikal, pecah rumah dan curi di gerai sekitar Merotai dan Kampung Kijang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau bersama Balai Polis Bombalai hasil risikan terhadap kegiatan suspek.
“Dalam serbuan itu, suspek bertindak agresif dan berlaku sedikit pergelutan sebelum berjaya ditahan.
“Pasukan serbuan turut merampas sebuah telefon bimbit dan dompet yang dipercayai ada kaitan dengan kes-kes disiasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Polis akan terus menjalankan risikan dan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan jenayah harta benda khususnya di daerah ini,” katanya. – Info X