TAWAU: Polis sedang mengesan pemandu kereta yang dipercayai melarikan diri selepas melanggar seorang pejalan kaki hingga maut di Kilometer 45, Jalan Tawau-Kunak, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 50-an tercampak kira-kira 10 meter akibat pelanggaran berkenaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan pada jam 1.40 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati kereta berwarna putih itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kunak menuju ke bandar Tawau.
Katanya, mangsa dipercayai sedang melintas jalan dari kiri ke kanan sebelum dilanggar kenderaan terbabit.
“Pemandu berkenaan tidak berada di lokasi selepas kejadian dan dipercayai sudah meninggalkan tempat kejadian.
“Identiti pemandu serta nombor pendaftaran kenderaan masih dalam usaha dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurwati Ismail di talian 010-932 6155,” katanya. – Info X