LAHAD DATU: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes seorang wanita yang disamun, dirogol sebelum dibunuh di sebuah kebun pisang, di Kampung Pisang, dekat sini, supaya tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan menyeluruh dan usaha bagi mengesan suspek sebenar kes itu kini sedang dijalankan.
“Belum (ada perkembangan), siasatan menyeluruh dan usaha mengesan suspek sebenar sedang dijalankan.
“Pihak polis juga berharap dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini supaya tampi membantu siasatan,” katanya kepada Info X.
Semalam, seorang wanita yang bekerja sebagai pembuat roti canai bukan sahaja disamun dan dirogol malah dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di dalam kawasan semak sebuah kebun pisang di Kampung Pisang, di sini.
Mayat wanita warga asing berusia 36 tahun itu ditemukan dalam keadaan separuh bogel oleh ahli keluarganya, pada 8.15 pagi. – Info X