Search

Polis cari lelaki tayang ‘anu’

May 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh terhadap pekerja wanita pusat aksesori telefon di Manggatal, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisoner Kasim Muda berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati kejadian berlaku pada Jumaat kira-kira jam 8.30 malam.

Katanya, mengikut laporan mangsa, suspek dikatakan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kemaluannya sambil bertelefon.

“Suspek dikatakan bukan pelanggan biasa di kedai berkenaan dan tidak pernah dilihat datang ke kedai berkenaan.

“Suspek dilihat memakai baju berwarna putih dengan zip seluarnya terbuka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, suspek juga dilihat berlegar-legar di kawasan belakang kedai berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Kasim berkata, pihaknya masih menjejaki suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek dikehendaki supaya tampil membantu siasatan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Audrea Anak Johnson di talian 019-5209 0380. – Info X