PITAS: Cubaan menyeludup barang kawalan ke negara jiran berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Pegasaon, di sini, semalam.
Dalam operasi jam 12.15 tengah malam itu, pasukan operasi merampas sembilan tong drum berisi petrol, 11 kotak minyak masak dan sembilan tong gas yang dipercayai disimpan sebelum cuba dibawa keluar.
Turut ditemui dalam serbuan itu ialah dua laras senjata api buatan sendiri yang disyaki digunakan bagi kegiatan haram berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, maklumat mengenai aktiviti penyeludupan membawa kepada serbuan sebuah rumah yang dipercayai dijadikan stor simpanan sebelum barang kawalan itu cuba dibawa keluar ke negara jiran.
“Hasil serbuan berjaya merampas beberapa barang kawalan termasuk dua laras senjata api buatan sendiri.
“Semua rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Senjata Api 1960 (Akta 206).
Sementara itu, beliau berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyeludupan.
“PPM akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya. – Info X