KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merekodkan rampasan melebihi RM20.6 juta menerusi pelaksanaan Op Tiris 4.0 bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 54 kes direkodkan dengan 53 tangkapan dilakukan termasuk membabitkan 13 warga asing.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, kejayaan berkenaan hasil operasi berterusan dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di negeri ini.
Katanya, secara keseluruhan PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 994 kes membabitkan pelbagai jenis kesalahan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM51,811,372.79.
“Menerusi Op Tiris 4.0 sahaja, nilai rampasan dicatatkan sebanyak RM20,660,390.50 termasuk barang kawalan, kenderaan dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu.
“Kes tertinggi membabitkan penyeludupan minyak subsidi petrol dan diesel dengan 43 kes direkodkan serta 46 tangkapan dilakukan termasuk 10 warga asing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, jumlah rampasan bahan api subsidi dianggarkan bernilai RM1,163,766.30 membabitkan 225,635 liter diesel dan petrol.
Beliau berkata, turut direkodkan 11 kes membabitkan barang kawalan lain seperti minyak masak, gula dan tong gas LPG dengan nilai rampasan keseluruhan RM30,399.50.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan demi memastikan keselamatan serta kestabilan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya. – Info X