Search

Polis minta Rowen Pejuang tampil

November 24, 2023

Info X Reporters

PAPAR: Polis Sabah mengesahkan ada menerima laporan polis terhadap pemilik akaun laman sosial Facebook, Rowen Pejuang yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, mengaitkan isu agama dan menimbulkan kemarahan orang awam, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, penama atau suspek ini juga sudah dikenal pasti.

“Polis meminta penama ini supaya memberi kerjasama dengan tampil menyerah diri di balai berdekatan bagi membantu siasatan.

“Penama juga dikehendaki membawa segala bukti dan kenyataan berhubung perkara ini, yang menjurus dirinya membuat kenyataan berkenaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Cabaran Kokurikulum Perkhemahan Kor Kadet Polis Negeri Sabah Tahun 2023 anjuran PDRM dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Dewan SMK Pengalat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas berkaitan seorang individu yang didakwa menghina agam Islam di laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Jauteh berkata, hasil makluman awal mendapati, isu ini timbul susulan rasa ketidakpuasan hati suspek terhadap kenyataan terdahulu yang dikeluarkan oleh kumpulan tertentu.

Katanya, kenyataan terbabit dibuat melalui aplikasi-aplikasi digital seperti WhatsApp dan Facebook yang akhirnya menjurus kepada balas-membalas kenyataan.

“Sebahagian daripada perkara yang diviralkan ini adalah satu tindak balas kepada viral sebelumnya, ada golongan tidak berpuas hati dengan viral sebelumnya atau pun tidak berpuas hati dengan percakapan kumpulan-kumpulan tertentu.

“Selepas itu wujudnya beberapa kandungan kata-kata yang ditangkap layar untuk dijadikan sebagai satu isu lain,” katanya.

Dalam pada itu, katanya orang awam juga diingatkan supaya berhenti mempolemikkan isu fitnah dan isu 3R (religion, royalty, race) yang jelas membawa kepada keburukkan.

Menurutnya, rakyat di negeri ini khususnya perlu patuh kepada undang-undang dan menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat ketika menggunakan aplikasi digital.

“Saya juga meminta mana-mana individu untuk tampil membuat laporan polis sekiranya tidak berpuas hati dengan pihak yang memuatnaik kenyataan fitnah dan 3R, agar pihak polis boleh menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sepatutnya.

“Orang ramai dan pengguna aplikasi digital khususnya juga diingatkan supaya tidak melakukan provokasi dengan menyalahguna kenyataan cenderung 3R,” katanya. – Info X