SEMPORNA: Polis sedang mengesan waris bagi mengenal pasti identiti mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di kawasan sebuah resort di Kampung Tampi-Tampi, di sini, pada 29 Jun lalu.
Mayat lelaki itu ditemui jam 7.41 pagi dalam keadaan kembung di bahagian perut serta kepala mereput dan sukar dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, ketika ditemui, tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat terbabit.
“Ciri-ciri fizikal mayat adalah tinggi 167 sentimeter dan memakai baju warna hitam corak biru, terdapat lambang tertulis Arsenal serta memakai seluar jeans panjang warna hitam jenama Bentop.
“Selain itu, didapati juga, mayat memakai gelang getah warna hitam di tangan kiri serta memakai tali berupa tangkal warna kuning yang dililit dari bahu kiri ke rusuk kanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, anggaran usia tidak dapat dipastikan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Katanya, mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Semporna untuk tindakan lanjut.
“Mohon sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga yang memakai pakaian seperti dinyatakan itu atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada Ketua Balai Polis Semporna Inspektor Mustapha Abd Majid di talian 010-5517617 atau di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X