Search

Polis Sabah rekod lebih 13,000 tangkapan, rampasan dadah RM263.82 juta

July 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lebih 13,000 individu ditahan Polis Kontinjen Sabah menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan, selain rampasan dadah bernilai RM263.82 juta sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pencapaian itu hasil operasi dan serbuan dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di seluruh negeri.

Katanya, secara keseluruhan, ketiga-tiga jabatan berkenaan merekodkan 13,298 tangkapan sepanjang tempoh berkenaan.

“Bagi JSJ, sebanyak 2,657 operasi dijalankan oleh Cawangan Risikan, Operasi dan Rekod Jenayah (D4), Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) serta Siasatan Khas (D9) dengan 3,144 tangkapan direkodkan.

“Operasi membabitkan pelbagai kesalahan termasuk perjudian, pelacuran, curi kabel, pecah rumah, samun, ragut, pembunuhan, penyeludupan dan jenayah harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi Julai 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Jauteh berkata, JSJN pula menahan 8,735 individu terdiri daripada 5,935 warga tempatan dan 2,800 warga asing.

Menurutnya, seramai 38 suspek termasuk enam wanita ditahan dalam kes membabitkan rampasan dadah melebihi satu kilogram.

“Rampasan membabitkan 3,560.93 kilogram syabu, 102.48 kilogram ketamin, 65.60 kilogram pil ekstasi, 7.6 kilogram ganja, 5.59 kilogram Eramin 5, 456.21 gram serbuk ekstasi serta 3.98 liter cecair vape.

“Keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM263.82 juta,” katanya.

Beliau berkata, JSJN turut mencatat prestasi pertuduhan sebanyak 89.91 peratus apabila 2,574 daripada 2,863 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah, melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 80 peratus.

Katanya, sebanyak 6,958 daripada 8,331 kertas siasatan turut berjaya diselesaikan, bersamaan 83.52 peratus dan mengatasi KPI ditetapkan sebanyak 65 peratus.

Sementara itu, Jauteh berkata, JSJK menerima 8,595 laporan polis bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Julai lalu yang membawa kepada pembukaan 2,018 kertas siasatan.

“Sebanyak 960 serbuan dijalankan dengan 1,419 tangkapan, manakala kerugian akibat jenayah komersil di Sabah dianggarkan RM79.35 juta.

“Daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka, sebanyak 524 kes berjaya dituduh di mahkamah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) membuka 9,746 kertas siasatan trafik sepanjang enam bulan pertama tahun ini dengan 9,311 daripadanya berjaya diselesaikan.

Katanya, sebanyak 453 Ops Mabuk dilaksanakan dengan 2,878 saman dikeluarkan terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

“JSPT turut melaksanakan 411 operasi membabitkan kenderaan perdagangan dengan 18,983 kenderaan diperiksa dan 1,493 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Jauteh berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PDRM Sabah dalam memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan keberkesanan siasatan serta membanteras pelbagai bentuk jenayah demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini terus terpelihara. – Info X