KOTA KINABALU: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki naik angin lalu bertindak mengugut dengan mengacukan kayu kepada seorang pemandu.
Kejadian dilaporkan berlaku di Pekan Telipok Manggatal, di sini, kira-kira jam 2.28 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, seorang lelaki berusia 26 tahun mendakwa diugut oleh suspek yang tidak dikenali menggunakan sebatang kayu.
“Hasil siasatan mendapati ketika pengadu sedang memandu kereta untuk pulang ke rumah, suspek yang juga sedang memandu telah memotong secara merbahaya untuk bergerak ke hadapan sehingga hampir berlaku perlanggaran dengan kenderaan pengadu.
“Pengadu yang panik kemudian membunyikan hon. Apabila tiba di lorong Pekan Telipok, suspek memberhentikan kenderaan di tengah lorong bagi menghalang kenderaan pengadu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, suspek kemudian turun dari kenderaan sambil membawa sebatang kayu berukuran 50 sentimeter dan mengacukan ke arah pengadu.
“Ketika itu, suspek turut berkata ‘kau kenapa, suka hati saya mau pandu laju, awas kau’. Kejadian itu ditularkan melalui sebuah rakaman video yang berdurasi 36 saat.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Kasim berkata pihaknya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengawal emosi bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku terutama kes ugutan jenayah.
Terdahulu, tular satu rakaman video di aplikasi TikTok berdurasi 36 saat, yang memaparkan seorang lelaki menjerit sambil mengacukan sebatang kayu ke arah seorang lelaki, hari ini. – Info X