TAWAU: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM65,000 dalam dua serbuan di daerah ini, pada 6 Julai lalu.
Semua suspek berusia 21 hingga 42 tahun ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kerana disyaki mengedar dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam serbuan pertama, di sebuah kawasan perumahan di dalam bandar Tawau, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun pada jam 12.30 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 50.24 gram daripada tubuh badan suspek.
“Hasil ujian saringan awal air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, di sini, hari ini.
Beliau berkata, serbuan kedua dilakukan pada jam 3.30 petang di Lorong Seraya, bandar Tawau berjaya menahan tiga individu warga asing termasuk seorang wanita berusia 31 hingga 43 tahun.
“Hasil pemeriksaan, menemukan satu bungkusan teh Cina bertulis ‘Guanyinwang’ dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 1,008.63 gram.
“Polis turut merampas sebuah kereta dipercayai digunakan oleh suspek untuk mengedar dadah dan wang tunai negara asing bernilai RM2,406,” katanya.
Katanya, ujian air kencing ketiga-tiga suspek negatif sebarang penggunaan dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Jasmin berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM65,000 dan semua suspek ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan tamat pada esok.
“Semua dadah jenis syabu yang dirampas di bawa ke IPD Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis ketika ini sedang giat mengesan saki baki rangkaian pengedaran dadah yang dipercayai aktif di daerah Tawau dan sekitarnya,” katanya. – Info X