Search

Polis tahan dua lelaki, rampas serbuk, air ketum di Penampang

June 13, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis menahan dua lelaki dan merampas serbuk dan cecair disyaki ketum dalam serbuan di sebuah bengkel di Putatan, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 22 dan 40 tahun ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan pasukan serbuan di lokasi kejadian menemui satu paket lutsinar berisi serbuk kehijauan di percayai ketum seberat 3,282.57 gram.

“Pasukan serbuan turut merampas 20 botol plastik seberat 30,000 mililiter (ml) berisi cecair disyaki air ketum.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dan semakan jenayah mendapati suspek tidak terbabit kes jenayah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah supaya segera melaporkan kepada berkuasa bagi membantu membanteras jenayah di daerah ini,” katanya. – Info X