TAWAU: Polis Tawau terus bekerjasama dengan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi mengekang jenayah rentas sempadan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya akan melipat gandakan usaha mengekang anasir tidak sihat bersama agensi di bawah ESSCOM.
“Pelbagai inisiatif dan tindakan yang diambil termasuklah menjalankan Operasi Bersepadu yang dikoordinasi oleh ESSCOM.
“Tujuan utama operasi adalah untuk memastikan persekitaran sejagat terus terjamin dan selamat demi kepentingan pembangunan sosio ekonomi setempat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, Polis Tawau mengadakan satu mesyuarat bersama ESSCOM, agensi jabatan kerajaan persekutuan dan negeri.
“Polis Tawau bersama ESSCOM sepakat akan terus mempergiat operasi supaya keselamatan perairan negara terus terjaga,” katanya.
Jasmin berkata, operasi dijalankan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Selain itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah,” katanya. – Info X