Search

POLIS TEMBAK KERETA PENJENAYAH

May 11, 2022

admin

BEAUFORT: Tindakan dua penjenayah yang cuba merempuh anggota polis menyebabkan beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah tayar kereta dinaiki mereka dalam kejadian di Kampung Limbawang, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika pemerhatian dijalankan sepasukan polis di sebuah rumah tidak bernombor di kampung terbabit.

Katanya, hasil pemerhatian itu, sebuah kereja jenis Proton Saga yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan masuk ke kawasan rumah berkenaan.

“Pasukan serbuan mendekati kereta itu dan mengarahkan pemandu (suspek) berhenti namun suspek bertindak agresif dan terus memandu laju ke arah pasukan serbuan sehingga hampir melanggar anggota polis.

“Polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar bagi tujuan keselamatan diri dan untuk menghalang kereta terbabit.

“Bagaimanapun, kereta itu terus memecut laju menghala ke Jalan Melulugus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff berkata, pasukan serbuan kemudian mengejar kereta itu sehingga di Jalan Melulugus berhampiran sebuah kolej, di sini, dan kereta berkenaan terbabas di tepi jalan yang sedang dinaiki banjir.

“Kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan diri namun berjaya diberkas. Hasil pemeriksaan di dalam kereta dinaiki suspek menemukan satu peket plastik lutsinar sederhana besar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah syanu seberat 6.11 gram di atas tempat duduk sebelah pemandu.

“Kedua-dua tangkapan yang berusia 31 dan 35 tahun serta rampasan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut dan suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.

Beliau berkata, mengikut semakan yang dibuat mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Salah seorang suspek juga mengaku mendapatkan bekalan dadah syabu untuk diedar daripada seorang pengedar tempatan dan polis sedang menyiasat mengenainya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – Info X