TAWAU: Tidak sampai 24 jam selepas memecah masuk sebuah premis dan melarikan pelbagai peralatan fotografi, dua lelaki termasuk seorang warga asing akhirnya diberkas polis dalam serbuan di sebuah bilik penginapan di bandar ini, semalam.
Lebih menarik, polis turut menemukan semula pelbagai barangan dipercayai hasil curi yang masih disimpan di lokasi persembunyian suspek.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek ditahan hasil tindakan pantas Strike Team Balai Polis Tawau yang menjalankan risikan sejurus menerima laporan kejadian.
Menurutnya, bertindak atas maklumat yang diperoleh, pasukan serbuan menyerbu sebuah bilik penginapan dan berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pecah masuk sebuah premis.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam bilik berkenaan menemui pelbagai barangan dipercayai hasil curi termasuk beberapa kamera, lensa kamera, sebuah komputer riba serta pelbagai aksesori fotografi.
“Semua barang berkenaan dipercayai dicuri dari premis yang dipecah masuk sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ketika tangkapan dilakukan, kedua-dua suspek bertindak agresif dan enggan memberi kerjasama sehingga memaksa anggota polis menggunakan kekerasan minimum bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan selamat.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 7.05 pagi selepas menyedari pintu gulungan besi premis miliknya dirosakkan akibat diumpil.
“Pemeriksaan di dalam premis mendapati beberapa bahagian telah dibongkar dan sejumlah barangan dilaporkan hilang.
“Siasatan lanjut turut mendapati seorang daripada suspek warga tempatan mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kes jenayah serta penyalahgunaan dadah,” katanya.

Jasmin berkata, kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah atau premis dan mencuri.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X