KOTA KINABALU: Ketua juri Unduk Ngadau Johor 2023 akui, faktor populariti menjadi bonus kepada peserta namun ia bukan faktor untuk dinobatkan sebagai juara pertandingan itu.
Severinus Nain dalam satu hantaran di Facebook mendedahkan, juara Unduk Ngadau Johor, Viru Nikah Terinisip yang lebih popular dengan nama Duyung Darat tidak mencapai tahap cemerlang untuk kriteria pemarkahan kecantikan.
Bagaimanapun, katanya, Viru Nikah bijak dalam percaturan ‘permainan’ iaitu “Jadilah kekurangan itu sebagai kelebihan, dan kelebihan sebagai keistimewaan”.
“Ya, sayalah ketua juri itu, terima kasih KDCA Johor 22/23 sebab berani bagi kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan kemudi berdepan finalis yang popular dan viral.
“Ini bukan pertama kali saya mengemudi barisan juri dan finalis popular dalam unduk ngadau Sabah. Imbas kisah, Unduk Ngadau Inanam 2018, Hosiani Keewon Jaimis, Unduk Ngadau Tambunan 2021, Tracie Sinidol.
“Kemenangan yang selayaknya dan bukan atas faktor populariti semata meski ia menjadi bonus untuk insan bertuah,” katanya yang menggunakan nama Boii Nain di Facebook.
Severinus turut menempelak sesetengah netizen yang memperlekehkan penyertaan Viru Nikah sebelum ini dan memuji pengorbanannya dalam menghadapi semua itu.
Katanya, Unduk Ngadau merupakan satu pertandingan yang memperingati semangat pengorbanan Huminodun.
“Siapa Huminodun? Banyakkan kajian dan membaca. Apa kaitan dengan coretan ini? Pengorbanan! Dia (Viru Nikah) layak dengan segala yang dia korbankan. Dia layak dengan segala usaha yang dilaburkan dan segala maki caci yang disampahkan oleh netizen.
“Netizen? Saat dia mendaftar, seribu satu persoalkan diutarakan, sehingga nama bapa menjadi bahan gurauan. Jika terpalit pada diri sendiri, apatah lagi kalau kalau ahli keluarga itu sudah tiada, apa perasaan nama keluarga dihina sebegitu rupa.
“Apa perasaan seorang ibu tatkala nama yang diberi pada anaknya dihina dan dipersendakan! Kamu ada terfikirkah benda benda begini? Luka dan sedih hati seorang ibu nampak hinaan netizen tidak bertamadun.
“Nasib sahaja bapa dan mama ahli syurga sosial media bagi kamu nama dan ejaan yang sedap tapi sayang perangai tak beza dek binatang,” katanya.
Sementara itu, Severinus berkata, skop pemarkahan terdiri dari aspek kecantikan, pakaian, disiplin, gaya persembahan, dan sesi soal jawab (Q&A).
Katanya, gaya persembahan termasuklah keyakinan diri dan hala tuju setiap pergerakan serta ‘pose’.
“Pakaian merangkumi originaliti pakaian, sulaman, dan aksesori manakala disiplin entiti pembawaan diri seseorang.
“Q&A aspek kefasihan berbahasa ibunda serta isi dan huraian yang jelas serta berkaitan, ini yang saya dalami dan pelajari sepanjang memikul tugas juri, bukan jadi juri atas tiket gila populariti dan token semata!
“Jadi orang yang melihat secara langsung (Unduk Ngadau Johor) sendiri tahu menilai kelebihan markah Tati Viru terletak pada skop pemarkahan yang mana,” katanya.
Severinus turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Viru Nikah yang akan bersaing di pentas KDCA nanti.
“Menang atau kalah, bukan taruhan. Kerana titik kejayaan sebenarnya sudah dicapai dari seorang anak kampung di Sook yang kini berada di puncak populariti.
“Normal, ada suka ada benci. Lumrah sebuah kehidupan. Diam dibenci, Bising dihina,” katanya lagi. – Info X