KENINGAU: Tindakan seorang pemandu pacuan empat roda dipercayai memotong di garisan berkembar mengundang tragedi apabila seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Batu 11, Jalan Keningau – Sook, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.37 tengah hari itu, mangsa, Wann Samuji, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala selain kaki kanannya putus selepas tercampak ke dalam longkang konkrit.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan sebuah motosikal Honda RS.
Katanya, ketika kejadian, pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 61 tahun itu bergerak dari arah Keningau menuju ke Sook, manakala mangsa datang dari arah bertentangan.
“Setibanya di lokasi kejadian yang berada di kawasan selekoh, pemandu pacuan empat roda dipercayai cuba memotong sebuah lori di garisan putih berkembar.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba motosikal mangsa muncul dari arah bertentangan sebelum berlaku pelanggaran kerana jarak yang terlalu dekat dan pemandu gagal mengelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, mangsa tercampak kira-kira 10 meter ke dalam longkang konkrit di tepi jalan, manakala kaki kanannya ditemui terputus kira-kira tiga meter dari lokasi mangsa terbaring.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor dari Unit Kecemasan Hospital Keningau, manakala pemandu pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan pada tangan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat yang dijadualkan esok.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu pacuan empat roda yang dipercayai memotong di garisan berkembar sehingga menyebabkan kemalangan maut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – Info X