Search

PPM bongkar gudang minyak haram, stor rokok seludup, rampasan RM350,000

August 21, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Dua kegiatan penyeludupan membabitkan rokok seludup dan minyak haram tumpas selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah melaksanakan dua serbuan berasingan di daerah ini.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama, PPM Sandakan bersama Unit Gempur Marin menyerbu sebuah rumah di Taman Indah Jaya, Batu 4, jam 8.30 malam kelmarin.

Katanya, hasil serbuan menemui 90,800 batang rokok seludup yang disembunyikan dalam bekas plastik.

“Semua rokok pelbagai jenama itu dipercayai untuk dipasarkan secara haram di sekitar daerah ini. Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan dianggarkan berjumlah RM129,618 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, beliau berkata, Unit Risikan Markas PPM Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah gudang minyak haram di Jalan Batu 27, Sandakan.

“Ketika serbuan, suspek didapati sedang giat memindahkan minyak diesel dari tong simpanan sementara ke dalam tangki lori dipercayai bagi tujuan pasaran sindiket.

“Dua lelaki tempatan berusia 26 hingga 66 tahun ditahan dalam operasi itu. Rampasan minyak dianggarkan bernilai RM228,935 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang awam serta komited membanteras kegiatan penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara. – Info X