SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan membabitkan rampasan bernilai RM48,722.50, pada Selasa.
Rampasan itu dilakukan PPM Semporna Wilayah Empat Sabah menerusi Op Taring Gelora di perairan Laut Larapan, di sini.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, dalam operasi itu pihaknya menahan tiga bot kayu yang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan ke atas semua bot berkenaan menemukan 300 liter minyak petrol dan 1,003 paket minyak masak satu kilogram disyaki seludup ke negara jiran.
“Semua barang rampasan termasuk barang kawalan dan bot berkenaan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM48,722.50 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Nazri berkata, PPM Wilayah Empat Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara. – Info X