Search

PPM gagalkan penyeludupan minyak masak subsidi

August 4, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Cubaan menyeludup sejumlah besar minyak masak bersubsidi dipercayai untuk dibawa ke negara jiran dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam serbuan di tepi Sungai Siguntur, Sibugal Besar, di sini, petang semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 4.30 petang itu, tiga individu ditahan bagi membantu siasatan.

Turut dirampas sebuah bot, sebuah lori Isuzu tiga tan serta minyak masak bersubsidi pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM160,469.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memperhebat risikan serta operasi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya yang cuba dibawa keluar dari negara.

“PPM Wilayah 4 Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan kerana ia bukan sahaja menjejaskan bekalan barangan bersubsidi untuk rakyat, malah memberi kerugian kepada negara.

“Bagi tempoh Januari hingga 3 Ogos lalu, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 95 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan 91 tangkapan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan melebihi RM25 juta,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata PPM Wilayah 4 Sabah kekal komited memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam memastikan setiap bentuk ketirisan dan penyeludupan barang kawalan dapat dibanteras secara menyeluruh demi melindungi kepentingan serta hasil negara. – Info X