Search

PPM patahkan cubaan seleweng pelbagai barang kawalan

March 16, 2023

admin

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan seleweng pelbagai barang kawalan menggunakan bot laju di kawasan Sungai Kampung Mangkalinau, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, sepasukan PPM Sandakan yang menjalankan Ops Gelora menggunakan bot ronda mengesan sebuah bot laju yang mencurigakan.

Barang kawalan yang cuba diselewengkan dirampas PPM dalam Ops Gelora di Sandakan. – Foto PPM

Ketika dihampiri, bot laju berkenaan bertindak memecut ke arah tepi perumahan setinggan.

Anggota PPM berjaya menahan bot berkenaan dan hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis barang kawalan seperti minyak petrol, minyak masak, gula dan tepung yang disyaki cuba diselewengkan.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin berjumlah RM22,000.

Bot dan barang rampasan kemudian ditunda ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

Bot laju sarat muatan pelbagai barang kawalan yang disyaki cuba diselewengkan ditahan PPM Sandakan. – Foto PPM

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan rampasan berkenaan dan semua barang rampasan akan diserakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – Info X