KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM), semalam merampas 154 karton minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM25,000 disyaki diseludup untuk memenuhi permintaan pasaran di Sabah.
Minuman keras terbabit dirampas sepasukan anggota PPM Labuan yang menjalankan tugas Op Taring Gelora Khas Kontraban dengan bot ronda di kawasan tebing sungai Kampung Sarap, Menumbok jam 10.30 malam.
Rampasan dibuat selepas pasukan keselamatan mengesan ada timbunan plastik di tebing sungai dan kelihatan sebuah bot bergerak keluar dari kawasan sungai.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, pemeriksaan terhadap timbunan plastik itu adalah minuman keras tidak bercukai ditinggalkan di tepi tebing sungai.
“Semua barang dirampas dan dibawa ke Balai Polis Menumbok. Anggaran nilai rampasan termasuk cukai RM25,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X