SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 2,500 liter minyak sawit mentah (CPO) dipercayai cuba diseleweng di Batu 25, Kampung Garinono, di sini, semalam.
Dalam operasi pada jam 4 petang itu, bahan komoditi berkenaan dibawa seorang lelaki berusia 28 tahun menggunakan sebuah lori.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, pasukan operasi yang menjalankan operasi rutin mengesan sebuah lori di bahu jalan kampung berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan ke atas lori itu menemui enam tangki berisi sebanyak 2,500 liter minyak sawit mentah dan sebuah enjin pam minyak.
“Pemandu lori itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan atau pemindahan bahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek berserta lori dan muatan dirampas sebelum dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk siasatan lanjut.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM143,000 dan kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998,” katanya.
Mohd Nazri berkata, pihaknya akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan yang menjejaskan hasil negara.
“Pihak PPM akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan bagi memastikan kegiatan haram seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya.
“Orang ramai digesa untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya. – Info X