SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai barangan kosmetik bernilai hampir RM50,000 yang cuba diseludup ke daerah ini melalui Laut Pulau Larapan, di sini, semalam.
Semua barangan berkenaan dirampas hasil pemeriksaan anggota PPM Semporna selepas mengesan pergerakan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan, jam 8.50 malam.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika bot ronda PPM Semporna menjalankan rondaan Op Taring Gelora mengesan pergerakan sebuah bot laju yang mencurigakan dan cuba menahan bot berkenaan.
“Tetapi bot itu bertindak memecut ke kawasan perairan cetak Laut Pulau Larapan.
“Bot ronda PPM terus mengekori dan menemui bot laju tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 26 kotak berisi barangan kosmetik yang disyaki diseludup masuk dari Filipina.
“Antara barangan yang dirampas iaitu buku sabun, facial cream perfect formula exfoliating, gel cream perfect formula sun shield dan buku facial soap dan nilai anggaran keseluruhan rampasan termasuk bot berjumlah RM60,000.
“Bot beserta rampasan dibawa ke pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya lagi, kes dirujuk ke Jabatan Farmasi Tawau dan kes disiasat mengikut Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. – Info X