Search

PPM rampas rokok seludup bernilai RM150,000

May 23, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai hampir RM150,000 di Kampung Puyut, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, pasukan PPM Lahad Datu yang menjalankan serbuan selepas menerima maklumat risikan dan pemantauan di kawasan bakau kampung berkenaan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil serbuan itu menemui 238 karton rokok jenama Astro Black Menthol dan 149 karton jenama A satu Mild Menthol.

Katanya, semua rokok berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dan disimpan di kawasan bakau supaya tidak dikesan oleh pihak berkuasa.

“Setakat ini tiada suspek yang mengaku pemilik barang berkenaan dan dipercayai semua rokok itu belum berbayar cukai.

“Semua rokok tersebut terus dirampas kerana disyaki barang salah dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rokok seludup yang dirampas PPM di Kampung Puyut, Lahad Datu.

Menurutnya, semua rokok tersebut dianggarkan bernilai RM149,318.40 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Nazri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara. – Info X