KOTA KINABALU: Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah premis tidak bernombor di Jalan Bunga Raya, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan kira-kira jam 8 malam itu dilaksanakan hasil maklumat awam menerusi Op Taring Gelora Aidilfitri.
Katanya, pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum tiga lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat secara langsung dalam kegiatan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lima kenderaan telah diubah suai dengan pemasangan tangki simpanan tambahan bagi tujuan menyimpan dan memindahkan minyak diesel secara haram.
“Pasukan turut menemukan sebuah tangki simpanan minyak jenis ‘skid tank’ yang mengandungi kira-kira 16,000 liter diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhan pasukan berjaya merampas sebanyak 17,850 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM76,755.
Menurutnya, turut dirampas lima kenderaan yang telah diubah suai serta sebuah tangki simpanan minyak dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM325,205.
Katanya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ahmad Amri berkata, pihaknya akan terus memperhebat operasi bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan yang memberi kesan kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“Orang awam juga diseru terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan kegiatan seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. – Info X