Search

PPM serbu rumah, rampas rokok, minuman keras tidak bercukai RM220,000

January 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rahsia sebuah rumah di Kampung Nangoh, Jalan Sapi Nangoh, Beluran yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan rokok dan minuman keras tidak bercukai terbongkar selepas diserbu Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, sejumlah 272,208 batang rokok pelbagai jenama serta 73 kotak minuman keras dirampas.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, dianggarkan keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM220,000.

“Ketika menjalankan Ops Taring Landai Khas Kontraban telah membuat pemeriksaan ke atas rumah stor berkenaan.

“Hasil pemeriksaan oleh pasukan serbuan merampas sejumlah rokok dan minuman keras yang berada di stor berkenaan kerana disyaki tidak bercukai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rokok dan minuman keras bernilai RM220,000 yang disembunyikan di dalam rumah diserbu pasukan PPM di Kampung Nangoh, Jalan Sapi Nangoh, Beluran. – Foto/PPM

Menurutnya, semua rampasan barangan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Anggaran rampasan semua barangan berkenaan adalah bernilai RM220,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata pihaknya akan menjalankan operasi secara berterusan supaya kegiatan jenayah penyeludupan dapat dibanteras. – Info X