KUDAT: Dua lelaki warga Filipina ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan barang kawalan di perairan Pulau Kukuban, di sini, semalam.
Kedua-dua suspek berusia 47 dan 50 tahun ditahan PPM Kudat ketika dalam tugas perondaan Op Taring Gelora, jam 1.56 pagi.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, bertindak atas maklumat mengenai aktiviti penyeludupan barang kawalan, pasukan PPM mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan berkenaan.
Katanya, pasukan PPM kemudian menahan bot pam dan membuat pemeriksaan terhadap dua lelaki di atas bot berkenaan.
“Kedua-dua suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Pemeriksaan lanjut menemukan beberapa tong drum besar dan kecil, enjin, enjin pam dan wang tunai.
“Semua barang berkenaan disyaki digunakan dalam aktiviti penyeludupan barang kawalan ke Pulau Mangsee, Filipina,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah kira-kira RM60,000.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Kudat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X