Search

PPM tahan kapal tangki cuba seludup 80,000 liter petrol bersubsidi

July 4, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan sebuah kapal tangki menyeludup minyak petrol di sungai Pegagau, di sini, semalam.

Kapal tangki yang membawa muatan 80,000 ditahan anggota PPM Semporna menerusi Op Taring Gelora Khas, kira-kira jam 8 malam.

Menurut sumber, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai penyeludupan petrol bersubsidi.

“Bertindak atas maklumat itu, bot ronda PPM Semporna yang sedang beroperasi pergi ke lokasi diberikan dan didapati terdapat sebuah kapal tangki dibiarkan terikat di tebing sungai berkenaan.

Kapal tangki membawa 80,000 minyak petrol disyaki cuba diseludup. – Foto/PPM

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sesiapa berada di dalam kapal dan dianggarkan terdapat sebanyak 80,000 liter minyak petrol ditemui di dalam tangki,” katanya di sini hari ini.

Sumber berkata, selepas menunggu sehingga jam 6 pagi semalam, tiada sesiapa tampil untuk bertanggungjawab terhadap kapal tangki berkenaan.

“Seterusnya kapal tangki itu dirampas dan ditunda masuk ke pangkalan PPM Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan rampasan berkenaan.

PPM tahan kapal tangki cuba seludup keluar minyak petrol di sungai Pegagau, Semporna. – Foto/PPM

“Nilai rampasan kapal tangki dan minyak petrol dianggarkan sebanyak RM584,500.

“Barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X