SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel subsidi dalam satu operasi khas yang dijalankan di daerah ini, semalam.
Operasi bermula jam 10 pagi itu dilaksanakan di dua lokasi berasingan iaitu di Batu 5 dan Batu 15, sebelum membawa kepada penahanan lima individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemukan tiga lori, tiga skid tank dan sebanyak 11,200 liter minyak diesel yang dipercayai disimpan untuk tujuan penyelewengan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM460,500 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan bahan api bersubsidi demi keuntungan sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiatkan operasi dan risikan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan serta penyeludupan barang kawalan, khususnya bahan api bersubsidi.
“PPM sentiasa mengalu-alukan maklumat dan kerjasama daripada orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Kami komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara,” katanya. – Info X