LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak sawit mentah (CPO) dalam satu serbuan di sebuah premis di Batu 15, Jalan Lahad Datu – Sandakan, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, pasukan serbuan berjaya merampas 77,590 kilogram minyak sawit bersama dua lori, satu van dan sebuah tangki simpanan dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.28 juta.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, seramai enam individu termasuk seorang warga asing berusia 20 hingga 53 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah RM2,287,332,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, rampasan ini satu lagi kejayaan besar PPM dalam membanteras kegiatan haram berkaitan minyak sawit mentah.
“Sejak Januari, nilai keseluruhan rampasan yang direkodkan mencecah RM15 juta,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat dan kerjasama daripada seluruh komuniti orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
“PPM Wilayah Empat Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya. – Info X