Search

PPR baharu perlu dibina di Putatan, Sembulan dan Tanjung Aru – Shahelmey

November 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu perlu dibangunkan di kawasan Parlimen Putatan sebagai tambahan kepada dua PPR sedia ada ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata dua PPR terbabit iaitu PPR Taman Sri Serigai dan PPR Taman Sri Keramat sudah didiami sepenuhnya.

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu meneliti dengan lebih serius keperluan semasa bagi membangunkan lebih banyak rumah mampu milik, termasuk di daerah Putatan.

“Selain mendorong kepada pertumbuhan sosioekonomi setempat, komposisi pembangunan rumah mampu milik yang seiring dengan peningkatan populasi daerah berupaya menjadi pemacu kepada pembangunan infrastruktur yang lain, di samping menarik perhatian golongan perniagaan untuk mendirikan aktiviti niaga yang boleh menyajikan peluang pekerjaan kepada rakyat setempat.

“Oleh sebab itu, menerusi peruntukan bagi maksud butiran ini, Putatan mengharapkan agar projek perumahan rakyat (PPR) yang baharu dapat dilaksanakan sebagai tambahan kepada PPR Taman Sri Serigai dan PPR Taman Sri Keramat yang kini sudah didiami sepenuhnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata demikian pada Perbahasan RUU Perbekalan 2025 bagi KPKT YB di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, Shahelmey berkata beliau meletakkan harapan yang tinggi agar KPKT dapat meneliti semula permohonan asal untuk pembinaan PPR di Parlimen Putatan yang dikemukakan sebelum Belanjawan 2024.

“Saya juga telah memaklumkan sekali lagi hasrat tersebut kepada YB Menteri semasa lawatan kerja beliau ke PPR Taman Sri Serigai pada akhir Julai lalu.

“Sebagai tambahan, saya juga ingin mengemukakan cadangan kepada KPKT agar sebahagian daripada peruntukan bagi maksud butiran ini dapat dimanfaatkan untuk pembinaan sebuah PPR masing-masing di Sembulan dan Tanjung Aru yang juga berada dalam Parlimen Putatan.

“Secara geografinya, kedua-dua kawasan yang saya nyatakan tersebut terletak di pinggir Kota Kinabalu, iaitu kawasan separa bandar yang berpenduduk tinggi.

“Oleh itu, pembinaan PPR di kedua-dua kawasan tersebut adalah wajar untuk menampung kepadatan semasa penduduk, terutamanya isi rumah dalam segmen pendapatan B40 dan ke bawah,” katanya.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata kerjasama erat antara KPKT, Kerajaan Negeri Sabah dengan Kementerian Ekonomi perlu dijalinkan untuk mengenal pasti kumpulan isi rumah dengan perbelanjaan asas kehidupan wajar yang menetap di Parlimen Putatan.

Jelasnya, mekanisme penentuan kelayakan itu perlu diperluaskan penggunaannya oleh Kerajaan Persekutuan dalam menilai serta meneliti keperluan semasa sesebuah daerah atau kawasan Parlimen terhadap pembangunan PPR serta projek rumah mampu milik yang berada dalam skop belanjawan tahunan KPKT. – Info X