PENAMPANG: Sebuah premis hiburan di New World Commercial Centre, di sini digempur polis malam tadi, selepas didapati beroperasi tanpa lesen dan melebihi masa yang ditetapkan.
Operasi bersepadu dikenali sebagai Op Noda (Pusat Hiburan) turut menahan seorang lelaki berusia 18 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis tidak mempunyai lesen hiburan sah dan beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan.
“Semua barang rampasan dan suspek dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 dan 4 Ordinan Hiburan Awam 1958.
Mengulas lanjut, beliau berkata polis akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis hiburan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Beliau turut menasihatkan semua pengusaha premis hiburan di daerah ini supaya mendapatkan lesen hiburan awam yang sah serta tidak menjalankan aktiviti melebihi masa operasi yang ditetapkan. – Info X