Search

Presiden PRBS tidak akun salah guna jawatan dapatkan suapan bina dewan RM2 juta

July 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan sebanyak RM2 juta selepas dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, pada Khamis.

Tertuduh yang juga Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS), Makinsos Nawai, 67, didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan peruntukan RM2 juta dari Kementerian Kewangan Sabah untuk projek Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus di Kota Marudu dan melaksanakan sendiri pembinaannya pada 2022.

Beliau membuat pengakuan tidak bersalah atas alasan dewan itu sudah siap sepenuhnya selepas mendengar pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Andi Razalijaya A Dadi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Makinsos didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu peruntukan Pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus berjumlah RM2 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus di Kota Marudu pada sekitar 2022.

Tertuduh didakwa mengambil tindakan mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus tanpa persetujuan Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah yang beliau mempunyai kepentingan dalam menguruskan permohonan peruntukan dan pelaksanaan dewan terbabit.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah 24(1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan kes pra-perbicaraan, manakala 2 hingga 4 November depan sebagai tarikh perbicaraan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan RM5,000 sebagai deposit kepada mahkamah bersama dua orang penjamin tempatan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan termasuk memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalijan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom, manakala Makinsos diwakili peguam Datuk Ram Singh, Prem Elmer Ganasan, Prabjit Singh Gill dan Ian Vun Chit Khen. – Info X