Search

PRK Kinabatangan, Lamag: Tarikh penting ditetapkan 16 Disember – SPR

December 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 16 Disember ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Mesyuarat itu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi itu daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya pada Isnin dan Selasa.

Ia berikutan kematian Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Jumaat lalu.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata mesyuarat itu akan menentukan tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan PRK itu.

“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, pada 8 Disember 2025 dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, pada 9 Disember 2025, berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham YB Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan bahawa kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan SPR.

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Disember 2025 (Selasa) yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, Pengerusi SPR, di mana tarikh-tarikh penting PRK Parlimen Kinabatangan dan PRK DUN Lamag akan dibincangkan,” katanya.

Katanya, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas itu selesai. – Info X