Search

PRN Sabah eksklusif untuk parti tempatan – SAPP

October 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) berpendirian bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah wajar ditandingi secara eksklusif oleh parti tempatan dari negeri ini.

Ketua Penerangannya, Chin Vui Kai, berkata semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sepatutnya hanya ditandingi parti dari negeri ini sejajar prinsip memperkukuh autonomi tempatan.

Jelasnya, dengan mengikuti contoh kejayaan Sarawak, pihaknya percaya Sabah juga mampu membentuk sebuah kerajaan yang terdiri sepenuhnya daripada parti tempatan.

“Kami menegaskan bahawa pilihan raya negeri Sabah wajar ditandingi secara eksklusif oleh parti-parti tempatan bagi kesemua 73 kerusi DUN.

“Pendekatan ini menegakkan prinsip kami, memperkukuh autonomi tempatan dan memastikan pentadbiran negeri kekal di tangan parti-parti politik Sabah.

“Kami telah menetapkan bahawa perpisahan dengan GRS adalah satu perkara yang tidak dapat diundurkan lagi dan sudah muktamad,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP, pada Sabtu.

SAPP diumum keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada Khamis lalu.

Keanggotaan parti terbabit tamat selepas membuat keputusan bertanding secara solo atau menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun menerusi satu kenyataan pada Khamis lalu.

Ia berikutan Mesyuarat Majlis Presiden GRS sebelum itu yang mana SAPP dan STAR menyatakan hasrat masing-masing bertanding secara solo.

Vui Kai berkata walaupun parti tempatan di Sabah mungkin mengambil strategi yang berbeza, mereka berkongsi matlamat yang sama iaitu menghalang kuasa luar daripada mempengaruhi pentadbiran Sabah.

“Berpandukan prinsip ‘Sabah for Sabahans’, kami bertindak seiring dengan kehendak pengundi Sabah, memperjuangkan hak penentuan nasib sendiri dan autonomi negeri.

“Apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, semua kerusi kembali kepada rakyat. Tidak wujud konsep kerusi milik parti atau individu,” katanya.

Beliau berkata, SAPP kekal beriltizam memperkasakan politik tempatan, memastikan pentadbiran yang berdedikasi dan lahir dari rakyat Sabah sendiri.

Katanya SAPP juga tegas menegakkan prinsip bahawa kerajaan Sabah mesti dipilih oleh rakyat Sabah, daripada parti tempatan Sabah.

Keputusan SAPP dan STAR untuk bertanding sendiri pada PRN17 dikatakan berpunca daripada pendirian GRS yang mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), bertentangan dengan kehendak mereka yang mahu GRS bertanding secara solo. – Info X