TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ada parti melobi bermacam-macam, termasuk menuntut bilangan kerusi yang banyak bagi membentuk kerjasama pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Tanpa menyebut parti terbabit, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menekankan bahawa soal memilih rakan kerjasama sepatutnya ditentukan oleh parti yang memerintah.
Katanya, ketika ini GRS di peringkat perbincangan sesama parti komponennya sebelum melanjutkan perbincangan dengan parti atau gabungan lain, khususnya Pakatan Harapan (PH).
“Kita sekarang sedang berbincang dengan parti kita sendiri dan selepas itu kita akan bincang dengan mereka yang mahu bekerjasama dengan kita.
“Kita adalah kerajaan negeri pada hari ini, jadi kita akan tentukan siapakah ‘partner’ kita di dalam pilihan raya akan datang.
“Ini mesti jelas kerana ada parti yang lain juga melobi bermacam-macam, bilangan kerusi yang banyak dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), di sini, hari ini.
Hadir sama Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Arifin Arif dan Datuk Masiung Banah; Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi; Bendaharu Gagasan Rakyat, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Balar Titingan.
Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerjasama dengan PH yang disebutnya sebelum ini sudah dibincangkan sesama pemimpin GRS.

Mengulas lanjut, Presiden Gagasan Rakyat itu berkata perkara itu akan diperhalusi dalam mesyuarat GRS dengan PH dan parti lain yang mahu bekerjasama dengan mereka.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Hajiji berkata GRS mampu memenangi lebih separuh daripada 73 kerusi DUN jika gabungan itu bertanding di semua kerusi berkenaan.
Bagaimanapun, berkata GRS tidak akan berbuat demikian kerana menyedari pentingnya kestabilan politik menerusi kerjasama dengan parti lain, khususnya PH.
Katanya, walaupun beliau memahami kehendak pemimpin GRS yang mahu gabungan itu bertanding di semua kerusi, mereka perlu memikirkan soal kestabilan politik Sabah dan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.
“Kalau GRS saja kita boleh menang lebih daripada separuh (kerusi), tapi ini bukan soal bentuk kerajaan, kita mahu kestabilan poltik. Jadi kita mesti kerjasama dengan rakan sekarang, iaitu PH Plus.
“Saya sudah beritahu Perdana Menteri perkara ini keran kita perlu dokongan padu kerajaan Persekutuan.
“Ada yang cakap kita boleh tanding 73 kerusi, tapi semua itu bukan soalnya. Soalnya ialah bagaimana kita maju, bagaimana kita stabilkan politik Sabah. Kita lihat, Sarawak kuat parti tempatan tapi masih kerjasama dengan persekutuan.
“Jangan kerana kuat, maka kita tidak perlu bekerjasama dengan persekutuan, Sarawakpun perlu kerjasama dengan Persekutuan,” katanya.
Apa yang penting, katanya GRS dan Gagasan Rakyat perlu menjadi parti yang dominan pada pilihan raya akan datang. – Info X