BEAUFORT: Parti Amanah Negara (AMANAH) menepis tanggapan kononnya parti itu tidak layak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Sebaliknya, Timbalan Pengerusi AMANAH Sabah, Hashim Daris, berkata parti itu sudah bertapak lebih lima tahun di Sipitang yang merangkumi DUN Lumadan serta mempunyai akar umbi yang kuat sebagai asasnya.
“AMANAH telah wujud di Parlimen Sipitang yang merangkumi DUN Lumadan dan DUN Sindumin lebih lima tahun lalu. Kami bukan parti baharu, banyak cawangan sudah ditubuhkan dan jumlah keahlian kami terus meningkat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau menyelar kenyataan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Datuk Mazlan Joehari Manan yang mempertikaikan kelayakan AMANAH untuk bertanding di kerusi DUN Lumadan pada PRN17.
Hashim yang juga Ketua AMANAH Sipitang, berkata kenyataan itu menggambarkan ketidakmatangan politik dan tidak berpijak di bumi nyata memandangkan parti itu sudah lama bertapak di kawasan berkenaan.
Beliau turut mengingatkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), AMANAH yang mewakili Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon bagi Parlimen Sipitang, iaitu Datuk Lahirul Latigu, yang memperoleh lebih 2,500 undi di DUN Lumadan sahaja.
“Jumlah itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa AMANAH bukan parti asing bagi pengundi di Lumadan. Sokongan terhadap kami adalah nyata dan tidak boleh dinafikan,” katanya.
Mengulas dakwaan Mazlan kononnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai sokongan yang besar di Lumadan, Hashim mempersoalkan asas kenyataan tersebut memandangkan GRS Lumadan masih belum teruji dalam pilihan raya.
Hashim turut menegaskan bahawa kenyataan beliau bukan untuk menimbulkan persaingan antara parti dalam kerajaan, sebaliknya sekadar mempertahankan maruah AMANAH yang dilihat cuba diperlekeh.
“Kami tidak mempunyai masalah jika calon yang mewakili kerajaan perpaduan GRS-PH Plus nanti bukan dari AMANAH tetapi biarlah keputusannya dibuat secara bijaksana dan berpandukan rekod serta kekuatan sebenar,” katanya.
Beliau menegaskan penentuan calon PRN17 bagi DUN Lumadan seharusnya diserahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“AMANAH Sipitang sentiasa sedar kemampuan dan kapasiti kami, penentuan calon bukan urusan kami di peringkat bawah. Janganlah kita mengambil alih tugas pucuk pimpinan, nanti nampak sangat kita ini terlalu pandai,” katanya.
Beliau kemudian menyeru semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan supaya menjaga keharmonian dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan perbalahan sesama sendiri menjelang PRN17 yang semakin hampir.
Kerusi DUN Lumadan adalah antara beberapa kerusi yang diintai AMANAH, selain Tanjung Aru dan Sulabayan untuk ditandingi atas tiket PH pada PRN17 nanti. – Info X