Search

PRN17: AMK, Wanita PKR Sabah mahu tanding enam kerusi

March 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan pergerakan Wanita PKR Sabah masing-masing mengharapkan diberi sekurang-kurangnya tiga kerusi setiap satu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil, berkata hasrat itu sudah dimaklumkan kepada kepemimpinan PKR negeri dan berharap diberi pertimbangan sewajarnya sebagai wakil golongan muda, selain wanita.

Katanya, walaupun kecil, tiga kerusi untuk AMK dan tiga lagi untuk wanita penting sebagai pengiktirafan terhadap golongan muda dan wanita dalam membantu parti serta keupayaan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kita sudah memaklumkan hasrat AMK untuk bertanding beberapa kerusi berpotensi iaitu sekurang-kurangnya tiga kerusi dan kita berharap diberikan peluang itu,” katanya pada sidang media di Tanjung Aru, dekat sini, semalam.

Katanya, pergerakan AMK Sabah juga sudah bersedia menghadapi PRN17 pada bila-bila masa mulai sekarang.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Sabah, Noriha Yakub, berkata pihaknya juga menetapkan sekurang-kurangnya tiga kerusi untuk ditandingi wakil wanita pada PRN17 nanti.

“Kita pun meminta sekurang-kurangnya tiga kerusi untuk ditandingi tetapi setakat ini kita belum boleh mendedahkan lokasi kerusi terbabit,” katanya. – Info X