Alias Abdullah
PENDIRIAN Parti Warisan bertanding solo di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) memperlihatkan cita-cita tinggi parti itu untuk kembali berkuasa dan mengulangi kejayaannya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Warisan tidak mahu lagi membentuk kerjasama dengan parti lain seperti dilakukannya pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020 yang menyaksikan parti itu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk gabungan Warisan Plus.
Ketika itu, Warisan terpaksa mengalah di beberapa kerusi yang mungkin ia berpeluang untuk memenanginya bagi memberi laluan kepada rakan gabungan dalam PH, iaitu PKR, DAP, AMANAH dan UPKO untuk meletakkan calon mereka.
Akibatnya, parti pimpinan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu gagal mempertahankan kerajaan yang dibentuk selama dua tahun lebih dan terpaksa akur menjadi pembangkang sepanjang lima tahun lalu.
Kali ini, Shafie nampak begitu yakin untuk memenangi pilihan raya dengan membawa isu kejayaan yang didakwa dicapai selama dua tahun lebih sebagai kerajaan sebelum ini bersama pelbagai lagi rancangan baharunya setelah gagal mempertahankan kedudukan pada PRN16.
Persoalannya, mampukah Warisan mengulangi sejarah 2018 untuk kembali mentadbir Sabah dan meneruskan perancangan parti itu yang dibuat oleh kerajaan pimpinan mereka sebelum terputus di tengah jalan pada September 2020.
Pertamanya, perlu dilihat proses pembentukan kerajaan pimpinan Warisan pada masa itu yang berlaku selepas presiden sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) secara tiba-tiba membawa parti dan wakil rakyatnya untuk menyokong Shafie.
Ia kemudian disusuli beberapa lagi wakil rakyat dari parti komponen BN yang lain keluar parti bagi menyokong Shafie hingga BN hilang majoriti sekali gus membolehkan bekas Naib Presiden UMNO itu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.
Ketika itu, BN sudah membentuk kerajaan dengan Tun Musa Aman (ketika itu Tan Sri) kembali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri hasil sokongan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Namun, itu situasi pada tujuh tahun lalu, ketika kerajaan sebelum Warisan pada masa itu, BN, berdepan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan antara mangsanya adalah Shafie sendiri apabila dipecat oleh UMNO bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka mempergunakan isu itu ketika kempen PRU14 dan berjaya menurunkan jumlah kerusi dimenangi BN hingga hilang kuasa di peringkat Persekutuan, manakala gagal mendapat majoriti di Sabah hingga perlu sokongan STAR untuk membentuk kerajaan negeri, namun hanya bertahan dua hari.
Ketika ini, Warisan dilihat cuba membentuk isu ‘1MDB’ baharu di Sabah dengan menyamakannya dengan isu hutang tidak berbayar ditanggung Sabah Development Bank (SDB) dan penerbitan sukuk RM900 juta untuk pembelian Sabah International Petroleum (SIP) oleh SMJ Energy seperti sering dibangkitkan Shafie di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menerusi jelajah Shafie ke pelbagai kawasan, termasuk di sekitar Keningau dan Tenom baru-baru ini, Warisan juga menggunakan isu Sabah Forest Industry (SFI) dan kawasan hutan akasia milik syarikat itu di Sipitang untuk menarik sokongan rakyat.
Warisan juga antara lain menjual isu air yang dikaitkan dengan tuntutan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), selain isu lesen pembalakan, kelulusan kawasan tanah yang luas untuk cari gali mineral dan pembabitan syarikat luar untuk cari gali minyak dan gas oleh PETRONAS.
Selain itu, Shafie juga awal-awal lagi membayangkan portfolio kerajaan yang bakal dibentuk Warisan selepas PRN17, antaranya membentuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran negeri.
Di bawah Kementerian Pelajaran negeri, katanya ‘kerajaan’ Warisan akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di setiap asrama sekolah sebagai respon terhadap kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Warisan membandingkan kerajaan pimpinannya sebelum ini lebih baik berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan membayangkan akan menjadi lebih baik apabila membentuk semula kerajaan selepas PRN17.
Secara ringkasnya, tumpuan Warisan lebih kepada isu transformasi pentadbiran negeri yang menyentuh soal pengurusan kewangan dan tadbir urus kerajaan bagi menunjukkan keupayaannya sebagai pentadbir yang baik, tapi tidak banyak perkara yang menyentuh secara langsung manfaat bakal dinikmati rakyat.
Namun, mampukah isu-isu itu mempengaruhi rakyat Sabah untuk memilih Warisan sebagai kerajaan, lebih-lebih lagi ketika mereka pernah merasai era pentadbiran parti itu yang disifatkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor lebih banyak berdendam terhadap pemimpin BN sebelum itu.
Atas perkiraan itu, tidak mustahil pendekatan yang sama diteruskan Warisan jika ia dapat membentuk kerajaan negeri sekali lagi, terutama setelah mengambil kira pendirian Warisan terhadap kerajaan GRS ketika ini yang jelas tiada yang betul pada pandangannya.
Sudah pasti segala usaha dan perancangan serta dasar yang dilaksanakan kerajaan GRS sekarang termasuk pelbagai inisiatif, bantuan dan insentif disalurkan kepada rakyat dihentikan jika parti lain membentuk kerajaan baharu selepas PRN17 nanti.
Pendekatan GRS lebih tertumpu kepada soal kebajikan rakyat dan usaha mengatasi masalah yang diwarisi daripada kerajaan sebelum ini, di samping memperkemas dan memperkukuh pentadbiran kerajaan serta membangunkan ekonomi menerusi pendekatan mesra pelabur dan perniagaan yang jelas berbeza dengan Warisan.
Itu antara peringatan penting ditekankan oleh GRS selaku parti pemerintah sekarang, dengan meyakinkan rakyat Sabah bahawa segala usaha yang dirancang oleh kerajaan ketika ini akan tergendala dan lenyap begitu saja jika Warisan menang pada PRN17.
GRS menegaskan berjaya membawa Sabah ke landasan yang betul bersandarkan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan hampir lima tahun lalu dan menyifatkan segala tohmahan kerajaan gagal yang dilemparkan pembangkang, termasuk oleh Warisan sebagai tidak berasas selain dakyah politik semata-mata.
Namun, apa yang pasti rakyat akan membuat keputusan berdasarkan parti mana yang dilihat benar-benar ikhlas dalam membantu mereka, membawa perubahan dan pembangunan di Sabah, bukan atas dakyah kebencian atau janji manis mana-mana pihak.
Artikel ini adalah pandangan atau ulasan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian Info X.